Print
Category: FOMCA DI PENTAS MEDIA

Arus pemodenan dan perkembangan teknologi yang berlaku pada hari ini dilihat semakin menghakis budaya membaca dalam kalangan mahasiswa sehingga penggunaan perpustakaan di universiti awam dan institusi pengajian tinggi (IPT) cuma terhad kepada musim tertentu sahaja.Kemunculan telefon pintar dan capaian internet yang meluas di serata dunia, termasuk Malaysia turut mendorong mahasiswa pada hari ini untuk lebih selesa membuat rujukan melalui laman carian seperti Google dengan alasan lebih mudah dan cepat.Meskipun begitu, perpustakaan sebagai gedung ilmu dilihat masih relevan dalam memainkan peranan menyediakan perkhidmatan dan maklumat kepada pelajar yang memerlukan, terutama membabitkan bahan rujukan yang tidak dapat diperoleh melalui carian di internet.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Yusserie Zainuddin, berkata trend penggunaan perpustakaan dalam kalangan mahasiswa pada hari ini dilihat bergantung kepada musim tertentu termasuklah minggu kuiz, ujian atau peperiksaan.Katanya, tidak dinafikan kekerapan pelajar menggunakan kemudahan di perpustakaan berkurangan kerana mereka boleh mendapatkan bahan rujukan melalui internet berikutan kemudahan jalur lebar yang meluas di kawasan kampus.“Kebiasaannya, perpustakaan akan penuh dengan pelajar ketika musim peperiksaan kerana mereka memerlukan tempat yang sesuai untuk mengulang kaji pelajaran serta membuat rujukan atau perbincangan dengan rakan sekuliah.

“Situasi ini sebenarnya berlaku di kebanyakan universiti awam (UA) dan IPT di negara ini dan menjadi satu cabaran kepada pihak universiti dan perpustakaan untuk menangani ledakan teknologi yang bakal berlaku pada masa depan sekali gus mencari pendekatan terbaik untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Sumber : Pressreader Berita Malaysia