Transaksi Haram Dalam Mata Wang Asing PDF Print E-mail
Tuesday, 19 July 2011 22:24

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Pengiriman Wang
Pengiriman wang adalah penghantaran keluar wang oleh seseorang kepada seseorang yang lain sama ada di dalam atau di luar negara, contohnya penghantaran wang kepada anak-anak yang sedang belajar di luar negara atau kiriman wang oleh pekerja asing kepada keluarga mereka di negara asal masing-masing.

Perkhidmatan pengiriman wang keluar hanya boleh dijalankan oleh:

  1. bank-bank perdagangan
  2. bank Islam
  3. institusi Pembangunan Kewangan
  4. penyedia perkhidmatan kiriman wang bukan bank yang telah diberikan kebenaran oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing
  5. Bank Simpanan Nasional dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad

Senarai institusi-institusi yang pengguna boleh membuat penghantaran wang boleh diperolehi di laman sesawang Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my

Pengiriman Wang Tidak Sah
Pengiriman wang tidak sah ialah penghantaran wang ke luar negara melalui syarikat yang tidak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menjalankan perniagaan sedemikian. Jika anda menggunakan khidmat ejen tidak sah ini, tiada jaminan bahawa wang akan selamat. Sifat umum ejen pengiriman wang tidak sah ialah seperti berikut:

  • Mereka biasanya beroperasi secara kecil-kecilan
  • Mereka mendakwa mampu memberi perkhidmatan pengiriman wang dengan cepat tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen atau bukti pengenalan diri
  • Mereka jarang menggunakan dokumen untuk membenarkan dan mengesahkan sesuatu urus niaga

Berdagang Dalam Mata Wang Asing
Jika anda mempunyai wang untuk dilaburkan, melaburlah dengan bijak supaya wang anda selamat. Elakkan diri anda daripada ditipu, dipujuk atau dipaksa untuk melabur wang hasil penat lelah anda ke dalam pelaburan yang menjanjikan pulangan yang besar dalam tempoh yang singkat seperti sindiket dagangan haram mata wang asing. Anda akan kehilangan semua wang anda! Jadilah seorang yang bijak. Simpanlah hasil penat lelah anda dalam pelaburan yang dikawal selia oleh Kerajaan. Tidurlah dengan nyenyak mengetahui pelaburan anda adalah terjamin.

Berdagang Dalam Mata Wang Asing Oleh Seseorang Yang Tidak Diberi Kuasa Adalah Menyalahi Undang-Undang
Berdagang dalam mata wang asing ialah aktiviti pelaburan dalam mata wang asing dengan tujuan untuk mendapat pulangan yang tinggi daripada pergerakan kadar tukaran mata wang asing.  Di Malaysia, semua urusan di dalam mata wang asing mesti dibuat dengan atau melalui peniaga mata wang asing yang diberi kuasa. Seseorang (individu atau syarikat) yang bukan peniaga mata wang asing yang diberi kuasa, tidak dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan atau berdagang dalam mata wang asing.

Sindiket Dagangan Haram Mata Wang Asing
Ramai rakyat di negara ini yang telah tertipu oleh sindiket dagangan haram mata wang asing dan akibatnya, mereka kehilangan jutaan ringgit. Sindiket sedemikian selalunya dikendalikan oleh syarikat-syarikat yang beroperasi secara tidak sah. Pengendali haram ini biasanya mensasarkan golongan pencari kerja dan para pelabur yang inginkan keuntungan cepat ke atas pelaburan mereka sebagai mangsa.

Amaran Bagi Pencari Kerja
Jangan bersubahat membantu pengendali haram untuk menipu orang ramai. Semak dengan Bank Negara Malaysia sebelum menerima sesuatu tawaran pekerjaan daripada syarikat sedemikian.

Bagaimana Untuk Mengesan Pengendali Haram
Pengendali atau syarikat yang beroperasi secara tidak sah ini biasanya:

  1. Memaparkan iklan yang cukup menarik untuk mengumpan orang ramai supaya mendengar rancangan pemasaran mereka yang meyakinkan tetapi sebenarnya palsu.
  2. Mempunyai ibu pejabat di luar negara.
  3. Beroperasi di pejabat dan mempunyai kemudahan IT yang canggih.
  4. Menyediakan latihan kepada bakal pekerja mengenai prinsip dagangan dalam mata wang asing dan memberi latihan amali mengenai dagangan mata wang asing berasaskan transaksi andaian atau tiruan dalam suasana yang dikawal oleh pengendali. Biasanya kesemua transaksi andaian yang dibuat akan menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda.
  5. Mengambil pekerja berasaskan komisen tanpa diberi sebarang surat pelantikan secara formal atau kontrak yang menggariskan syarat-syarat pekerjaan.

Sebelum seseorang pekerja memulakan urus niaga, mereka dikehendaki mencari bakal pelabur dan mengambil deposit daripada mereka. Jika tidak, mereka mungkin akan dibuang kerja. Dalam kebanyakan kes yang dirujuk kepada Bank Negara Malaysia, pekerja yang gagal mencari pelabur akan bertindak meminjam wang daripada ibu bapa atau ahli keluarga masing-masing semata-mata untuk menunjukkan kebolehan mereka mendapatkan pelabur dan seterusnya dapat kekal di dalam pekerjaan tersebut.

Amaran Untuk Pelabur
Pengusaha syarikat dagangan mata wang asing haram ini pada kebiasaannya akan cuba meyakinkan para pelabur dengan:

  1. Mengatur strategi pemasaran yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat.
  2. Menampilkan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini. Dalam sesetengah kes, pelabur juga dibenarkan untuk mengendalikan akaun mereka di Internet.
  3. Dengan radas urus niaga seperti skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa suatu perniagaan yang profesional dan sah di sisi undang-undang sedang dijalankan.

Para pelabur boleh berdagang sama ada melalui akaun dagangan mereka dengan syarikat tersebut atau melalui wakil yang dilantik oleh syarikat. Pelabur juga dikehendaki menandatangani satu kontrak urus niaga yang biasanya di antara pelabur dan syarikat induk dan dalam kebanyakan kes, pengusaha akan memaklumkan pelabur bahawa mereka perlu menghantar kontrak tersebut ke ibu pejabat syarikat mereka yang berpengkalan di luar negara. Walau bagaimanapun, biasanya kontrak ini dibiarkan tanpa ditandatangani. Dengan ini, sekiranya pelabur tidak berpuas hati dengan urus niaga yang dijalan, tiada tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat ini memandangkan tiada perjanjian yang mengikat mereka.

Daripada kes-kes yang dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia, terdapat dua senario bagaimana pelabur akan kehilangan wang mereka:

Senario 1:
Biasanya pelabur akan mendapat pulangan yang tinggi ke atas pelaburan permulaan mereka. Ini akan meyakinkan pelabur untuk menambah pelaburan supaya mendapat pulangan yang lebih tinggi lagi. Lama-kelamaan mereka akan kehilangan semua wang yang dilaburkan apabila pemilik syarikat menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Senario 2:
Para pelabur yang telah mengalami kerugian akan diberitahu bahawa sentimen pasaran dijangka akan meningkat. Jika mereka menambah pelaburan, maka mereka akan mendapat balik wang mereka. Yang pastinya ini tidak akan berlaku dan mereka akhirnya akan kehilangan semua wang pelaburan mereka.

Bagaimana Untuk Melaporkan Kegiatan Pengiriman Wang Tidak Sah & Sindiket Dagangan Haram Mata Wang Asing
Sekiranya anda mengesyaki seseorang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pengiriman wang ke luar negara secara tidak sah atau jika anda telah ditawarkan pekerjaan untuk mencari bakal pelabur atau anda sendiri telah diajak untuk melabur dalam skim pelaburan mata wang asing, anda boleh melaporkannya ke Bank Negara Malaysia di nombor telefon 03-26985708 atau 1-300-88-5465 (LINK).

Sumber : Bank Negara Malaysia